UMSKAL sedia jalin kerjasama dengan DBP
26 Feb 2013

LABUAN 26 Feb. - Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) akan mengadakan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah bagi menerbitkan buku-buku akademik hasil karya ahli akademik universiti itu.

Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Ismail Ali berkata, penerbitan buku berkenaan akan dapat membantu menampung lebih banyak buku rujukan khusus berkaitan penyelidikan dalam bahasa Melayu dan Inggeris di universiti tersebut.

"UMSKAL akan menyalurkan hasil penyelidikan dan tulisan berkaitan perniagaan dan multimedia kepada DBP untuk diterbitkan ke dalam buku, majalah dan majalah terbitan DBP," katanya sempena kunjungan hormat Pengarah DBP Cawangan Sabah, Jamaluddin Mohd. Sulong di Bilik Mesyuarat Eksekutif, UMSKAL, semalam.

Yang turut hadir, Penolong Pengarah Unit Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Rusdi Awang; Bendahari Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (Perwila), Othman Mahali dan Dekan Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL), Dr. Awang Asri Awang Ibrahim.

Ismail berkata, pihaknya akan meminta ahli akademik dan kakitangan serta pelajar menulis bahan yang berkaitan penyelidikan dan pelbagai genre bahasa dan sastera untuk dimuatkan ke dalam bahan bacaan terbitan DBP.

Katanya, DBP juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti kesusasteraan seperti bengkel penulisan, puisi, dialog dan seminar dengan kerjasama pensyarah, kakitangan dan mahasiswa universiti itu.

Sementara itu, Jamaluddin berkata, DBP telah banyak menerbitkan pelbagai bahan bacaan umum yang boleh dibaca bagi menambah pengetahuan mahasiswa di luar bidang pengajian mereka di universiti itu.

"DBP bersedia mengadakan bengkel penerbitan dan penulisan kepada pensyarah, kakitangan dan mahasiswa agar lebih banyak bahan bacaan dihasilkan warga UMSKAL," ujarnya.